Hidup ini merupakan sebuah perjuangan.
Ia ungkapan yang sentiasa kita dengar, disebut dan diulang-ulang oleh ramai orang.
Selari dengan firman Allah;
“Sesungguhnya manusia itu Kami ciptakan hidup dalam perjuangan bersusah payah.” (Al Balad:4)
Namun bagaimana bentuk gambaran perjuangan itu sering kali tidak jelas untuk timbul pada benak pemikiran kita.
Kerana kita hamba dan tiada apa yang dapat kita jangkakan, namun yang pasti ujian itu untuk memberi satu outcome.
Pada diri
Pada kehidupan
Pada orang sekeliling
Ada kala, kita boleh memahami hikmah ujian itu sewaktu kita melaluinya, namun dalam kebanyakkan waktu, kita hanya menyedarinya setelah itu, malah ada yang tidak pernah menyedarinya.
Oleh kerana hikmah, tujuan, matlamat ujian itu kurang jelas, ramai manusia melaluinya dengan penuh rasa payah dan tidak kurang tersungkur di tengah jalan.
Putus asa!
Itulah kekalahan yang sebenarnya, di saat insan berkata kepada dirinya,
‘Cukuplah tu, aku tak mahu dah.’
‘Maaf sheikh, ana tak mampu nak tanggung semua amanah ni lagi dah.’
Pada waktu itu, ketika mereka membulatkan hati mereka untuk berhenti dan berpaling, segalanya sudah berakhir, mereka memilih kegagalan sebelum tiba ke garis penamat.
Naqib saya pernah berkata kepada saya,
‘Kalau kita pegang amanah ini, kita letak diri kita untuk berdepan dengan segala cabaran yang amanah ini bawa kepada kita, kita bukan sahaja rasa lemah, malah sebenarnya memang kita tidak mampu. Tapi kalau kita yakin dan faham Allah berada di belakang kita, inshaAllah kita ada kekuatan untuk menempuhnya.’
Dahulu, di USM, ingatan ini sering kali mengingatkan saya di saat saya hampir-hampir berputus asa dan kecewa dengan segala outcome yang menyedihkan dan memeritkan hati di kampus. Kadang kala terasa seolah-olah segala yang diusahakan itu tiada sedikit pun hasilnya.
Keyakinan, itu kunci keluar kepada segala perkara.
Apa yang dituntut kepada insan ialah melangkah dengan tekad bersama keyakinan ini menelusuri ujian dan cubaan yang Allah letakkan sepanjang perjalanan kehidupan.
Bantuan Allah akan sentiasa ada di belakang dalam perjalanan ini, yakinilah.
Mereka yang berjalan dalam perjalanan kehidupan dengan keyakinan ini sebagai bekal, mereka akan berjaya melauinya. Mereka akan merasa tenang dan aman melalui segala rencam ujian yang menanti mereka dalam perjalanan kehidupan ini.
Kerana keyakinan kepada Allah.
Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian,
Keyakinan itu bukan sekadar motivasi untuk menyenangkan hati dan mendamaikan emosi,
Ia adalah aqidah yang wajib diyakini setiap yang mengaku beriman secara mutlak kepada Allah swt.
Kerana Allah itu kasih kepada insan lah, Dia datangkan pelbagai ujian untuk mengetuk pintu kesedaran insan akan siap dirinya dengan Tuhannya.
Setiap orang sudah ditentukan bentuk ujian untuk dirinya, bukankah sejak roh ditiupkan ke janin, antara empat perkara yang ditetapkan Allah untuk roh itu ialah jalan kehidupanya?
Adakah beribu bapa atau yatim piatu?
Adakah lelaki atau perempuan?
Adakah dari keluarga berharta atau papa?
Adakah dari ibu bapa yang sekular, lebai atau biasa-biasa saja?
Apakah kerjanya?
Bagaimana dia berkeluarga?
Bagaimana dia melangkah ke Barzakh?
Segalanya sudah Allah tentukan, namun, bagaimana insan mendepaninya?
bagaimana insan berhadapan dengannya, bagaiman insan memiliki keyakinan kepada kekuasaaan dan kasih sayang Nya, terserah kepada insan itu.
Jika mereka memilih untuk yakin kepada Allah inshaAllah akan ada jalannya.
Jika mereka melupakan Allah, Allah sentiasa akan cuba memanggil mereka kembali kepadaNya. Selagi ada sekelumit keyakinan bahawa Allah itu Rabb yang menciptakan dan menguasai dirinya.
Jika Allah yang Maha Berkuasa bersedia membuka jalan keluar kepada setiap masalah, maka hakikatnya jalan keluar itu sentiasa ada.
Insan hanya perlu berjuang dengan dirinya. Berjuang untuk meneguhkan dan mengukuhkan niat serta iltizam di dalam hati.
Iltizam untuk terus menerus melangkah dengan tekad.
Tekad sebagaimana dicontohkan oleh para Nabi dan Rasul yang terus melangkah memikul tanggunjawab hingga akhir usia mereka.
Jangan sesekali menyerah kalah kepada segala kesusahan yang mendatang.
Hadapilah dengan keyakinan Allah sentiasa berada di sisi,
Dengan keyakinan Allah akan membantu dan membuka jalan,
Dengan berbekalkan harapan kepada sifat Ar Rahman dan Ar Rahim.
Kini, saya juga sedang melalui satu fasa dalam kehidupan saya, yang memerlukan saya untuk memaksa dan mendisplin diri untuk menempuhinya dengan selamat dan berjaya.
Ingatan Naqib saya dahulu ‘…yakin dan faham Allah ada di belakang kita.’ Terngiang-ngiang kembali, memberi ingatan bahawa saya tidak keseorangan.
Meskipun bentuk dan suasana tidak lagi sama sebagaimana dahulu, namun saya beryukur pedoman yang saya jumpa di bumi minden satu ketika dahulu masih mampu saya gunakan dalam menghadpi mehnah pada hari ini.
Sesungguhnya Allah yang Maha Pengasih telah mengasihani saya, hambanNya…
Inilah yang sentiasa memberi keyakinan kepada diri, hanya Dia.