Kalimah Allah

Pada awalnya, saya sememangnya tidak berminat untuk memberi apa-apa pandangan berkenaan dengan isu ini, kerana beberapa sebab.  Namun, selepas menonton video perbincangan mengenai isu ini di 101 East, yang membariskan YB Khalid Samad, Marina Mahathir dan Yusri Mohammad, Presiden ABIM, bagai ada sesuatu yang masih kabur.  Selepas menonton rakaman ini, saya boleh bersetuju dengan kedua-dua pihak dari segi perbincangan dan isi yang diketengahkan.

Hukum Asal

Perkara pertama yang perlu kita bincangkan adalah status penggunaan kalimah itu dari sudut hukum atau fiqh, dengan kita mengenepikan dahulu aspek lokaliti, sejarah dan sebagainya.  Di sini terdapat khilaf di kalangan ulama’.  Ada ulama’ yang berpandangan kalimah Allah itu ada akarnya, terbit dari dua perkataan,  pandangan ini membawa kepada keputusan kalimah itu tidak eksklusif kepada orang islam.  Pandangan kedua pula mengatakan kalimah itu bersifat husnul jamid, daripada tiada tiba-tiba ada sebaik islam muncul, maka pandangan kedua ini membawa kepada kalimah ini hanya eksklusif untuk orang islam.  Perbahasan ini disebut dalam kelas aqidah.  Ini adalah khilaf pendapat pada aspek yang amat kecil dan tidak melibatkan perkara dasar.

Sejarah

Kedua adalah aspek sejarah, adakah benar perkataan kalimah Allah ini telah digunakan oleh orang kristian sebelum kedatangan islam lagi?  Persoalan ini sepatutnya kita rujuk kepada mereka yang benar-benar arif dalam sejarah agama kristian atau mereka yang mengkaji perbandingan agama.  Pandangan yang kuat dari mereka yang ahli dalam aspek ini ialah perkataan itu tidak pernah digunakan.  Orang kristian sebelum kedatangan islam menggunakan perkataan ‘illah’ yang bermaksud tuhan.  Sebaik islam datang barulah kalimah Allah ini disyiarkan.  Pandangan ini disokong oleh Prof Wan dan Nicholas Sylvester.

Justeru, timbul pula persoalan, mengapa di tanah arab kalimah Allah ini dibenarkan?  Jika ia salah, maka mengapa ulama’-ulama’ muktabar di sana tidak mengambil tindakan?  Dalam aspek ini, perlu untuk kita memahami adakah perlaksanaan ini disebabkan prinsip atau lokaliti.  Di tanah arab, perkataan yang dominan apabila merujuk kepada god atau tuhan adalah Allah.  Meskipun dalam bahasa arab ada perkataan ‘illah’ dan ‘rabb’ yang juga bermaksud tuhan, tetapi umum masyarakat bangsa arab menggunakan Allah untuk merujuk kepada tuhan, termasuk atheis.

Maka penggunaan kalimah Allah oleh kristian di sana ada signifikan, lebih-lebih lagi apabila ada khilaf dalam aspek penggunaan kalimah ini.  Tapi perlu kita ingat, penggunaan itu setelah diambil kira kondisi lokaliti di sana dan ia bukan amalan yang dominan dalam agama kristian secara keseluruhan, Vatican membenarkan ia digunakan di sana kerana aspek lokaliti.  Di sudut islam pula, kebebasan beragama adalah hak milik orang bukan islam.  Mereka bebas mempraktikkan agama mereka selagi mana tidak menggugat keharmonian dan keselamatan orang islam.  Jika ulama’ di sana melarang penggunaan kalimah ini di sana, ia bukan sahaja melanggar kebebasan beragama yang dipelihara islam, malah juga menidakkan pandangan ulama’ yang membenarkan penggunaan kalimah ini.

Waqi’ di Malaysia

Setelah kita memahami keadaan, barulah kita pergi kepada aplikasi di Malaysia.  Hujah yang diketengahkan oleh pihak kristian yang menuntut adalah ia digunakan di negara arab dan Indonesia sejak dahulu lagi, malah juga digunakan di sabah dan serawak.  Bagi saya jika hujah itu mahu digunakan di sabah dan serawak maka ia ada kewajaran.  Ini kerana sejak kristian masuk ke sabah dan serawak berpuluh-puluh tahun dahulu lagi, mereka mengenali god sebagai Allah, tindakan membantah penggunaan itu akan menggambarkan seolah-olah islam mencampuri dan mengganggu urusan agama lain dan ia bertentangan dengan prinsip islam.  Saya mengatakan begini setelah mengambil kira kondisi dan sejarah di sana.

Manakala di semenanjung Malaysia pula berbeza halnya, saya tidak bersetuju jika hujah itu mahu digunakan di sini.  Ini kerana, di semenanjung mereka sudah biasa menterjemahkan God kepada tuhan dan tiada sebab mereka mahu menggunakan perkataan Allah bagi menterjemahkan God baik dari sudut bahasa mahupun lokaliti sejarah.  Saya bercakap dari sudut menilai hujah yang digunakan mereka.

Maka akhirnya, adakah wajar kalimah Allah ini dibenarkan untuk digunakan oleh non-muslim di negara Malaysia ini?  Dari aspek sudut hukum saya masih tidak dapat tentukan saya lebih selesa dengan pandangan yang mana sebab saya masih belum mendalami dan memahami hujah kedua-dua pihak, namun dari sudut perlaksanaan di semenanjung Malaysia, saya tidak bersetuju.  Saya bersetuju dengan pandangan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah setelah mengambil kira kondisi masyarakat islam di negara ini, malah ada yang turut berpandangan sama meskipun mereka selesa dengan pandangan kalimah Allah tidak eksklusif untuk umat islam, sebagai contoh Ust Zaharuddin dan Tuan Guru Nik Aziz.

Kerana kita perlu memikirkan segala kemungkinan negatif yang mungkin timbul andai ia dibenarkan, mengambil kira kondisi umat islam yang masih kabur tentang aqidah, membenarkan isu ini akan menambah kecelaruan aqidah.  Antara implikasi yang mungkin timbul adalah keliru aqidah yang membawa kepada kufur, menurut hukum islam, redha kepada kufur adalah kufur dan ini yang dimaksudkan Dr.Haron Din.

Ada yang mengatakan kegagalan umat islam memahami aqidah itu adalah kesalahan umat islam sendiri, dan tidak wajar kegagalan umat islam ini dijadikan hujah dalam isu ini kerana umat islam wajib menuntut ilmu, ya saya setuju dengan kenyataan ini dari sudut kewajiban menuntut ilmu.  Namun perlu kita ingat, kita sedang menetapkan hukum yang akan memberi kesan lansung kepada aqidah umat islam secara keseluruhan, jika ia memberi impak negatif kepada sesetengah umat islam, yang cetek ilmu, lalu kita berkata itu adalah salah mereka, maka adakah kita mengatakan islam ini hanya untuk mereka yang ada ilmu?  Adakah ini menggambarkan kesyumulan islam?

Kalau kita bercakap tentang keadilan kepada orang bukan islam untuk menggunakan kalimah ini, ya dari sudut hukum ada pandangan yang mengatakan boleh, namun ada juga pandangan yang mengatakan tidak boleh, adakah kita mahu menafikan pandangan itu?  Maka tidak boleh hanya berpegang dalam pandangan yang kita selesa semata-mata dalam menerbitkan hukum yang akan mengikat masyarakat umum.  Pandangan kedua perlu diambil kira dan dibahaskan, apatah lagi hujah yang digunakan pihak kristian tidak signifikan dengan kontek bahasa dan sejarah di semenanjung Malaysia.

Sekarang kita melihat terdapat beberapa perbezaan pandangan, setiap pandangan ada hujah dan dalil dari sudut naqli, aqli, sejarah dan lokaliti, maka pandangan siapa yang paling berhak?  Di sinilah peranan majlis fatwa kebangsaan.  Berdasarkan apa yang saya faham dalam kaedah menerbitkan hukum, setiap orang yang berilmu bebas menerbitkan pandangan masing-masing dalam sesuatu hukum.  Namun hukum itu hanya mampu mengikat diri mereka semata-mata, kerana hanya dia memahami keadaan dan memiliki ilmu, untuk hukum yang mengikat masyarakat secara umum, hanya ahli fiqh yang dilantik pemerintah sahaja yang layak dan berauthoriti, ini adalah prinsip islam dalam menerbitkan hukum.  Dalam konteks Malaysia, institusi yang diberi kuasa adalah Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dalam isu berkaitan, majlis fatwa telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2008 dan sewajarnya perlu untuk semua ilmuan dan cedekiawan islam menghormati keputusan fatwa.  Sudah pasti ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju, kerana perbezaan pandangan itu adalah lumrah dan tidak dapat kita elakkan, yang paling penting adalah cara kita menguruskan perbezaan pandangan.  Semua pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan fatwa sepatutnya mengusahakan satu perbincangan sejak ia diputuskan pada 2008 lagi, bukan apabila isu ini meletus pada awal 2010 ini.

Apabila makhamah tinggi memutuskan untuk memihak kepada pihak kristian pada 31 Disember 2009, tiada langkah proaktif yang diambil dalam menjelaskan dan menyelesaikan isu ini, ramai orang lebih sibuk menyuarakan bantahan melalui demonstrasi, membangkit emosi dan perasaan, para ahli ilmu pula sibuk mengeluarkan pandangan masing-masing, tiada satu usaha untuk duduk semeja, berbincang dengan hujah dan dalil dan mengeluarkan satu kata sepakat dalam isu ini.  Sepatutnya majlis fatwa berperanan menggerakkan perbincangan dan menjelaskan asbab dan hujah mereka, bukan mengeluarkan hukum tanpa penerangan dan hujah yang mampu diyakini.

Kesan dari demonstrasi berterusan, ia hanya membangkitkan sentimen, sedangkan orang islam mahupun orang kristian masih kabur sebab atau hujah bantahan ini dan ia sudah mula dimainkan dengan beberapa siri serangan ke rumah ibadat kristian dan islam.  Lebih memeningkan apabila para ilmuan islam berbeza pandangan mengenai isu ini dan tidak mampu sepakat tentang hukum yang mahu ditetapkan kepada umum, malah dilihat bertelagah pula.  Apa yang menjadi kebimbangan saya adalah, di waktu semua ilmuan sibuk mempertahankan pandangan masing-masing meskipun mereka berbahas benda yang khilaf, masyarakat yang kabur dan dibakar emosi mengambil tindakan yang tidak selaras dengan hukum islam.  Di saat itu, apakah erti hujah-hujah yang dibahaskan apabila sentimen antara agama menebal?

Di sini, saya menyuarakan pandangan saya berkenaan keadaan semasa, yang paling penting bagi saya adalah keharmonian dan semua pihak mesti berperanan menghalang provokasi yang cuba ditimbulkan yang akan menggugat nilai keharmonian yang dijunjung islam dalam negara ini.  Sehingga hari ini, saya masih tidak nampak jalan keluar dari kemelut ini, masing-masing ego dengan pandangan sendiri, tiada orang yang cuba menguruskan perbezaan pandangan ini.

Categories: my view | Leave a comment

Post navigation

Thanks for a response :)

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com. The Adventure Journal Theme.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: